Oleh: FARIZA SAIDIN
Kalau ditanya wanita mana yang tidak mahu kelihatan cantik? Tentulah jawapannya `semua wanita ingin nampak cantik'.
Tidak ada wanita yang tidak mahu kelihatan cantik. Cuma penampilan dan cara masing-masing yang membezakan kecantikan seseorang.
Pun begitu, kecantikan bukan sahaja dilihat secara zahir malah kecantikan batin tidak kurang penting dalam mencerminkan keperibadian seseorang wanita.
Mungkin ramai yang bersetuju, bagi seseorang wanita paling penting diutamakan ialah bentuk badan yang bersesuaian dengan ketinggian. Itulah yang paling ideal.
Kurus sangat pun tak cantik apatah lagi gemuk gedempol. Masalah berat badan wanita lazimnya berubah apabila sudah berumah tangga dan melahirkan anak.
Tanpa jagaan rapi ketika dalam pantang disertai selera makan yang sentiasa terbuka akan menyebabkan berat badan bertambah.
Inilah yang sering ditakuti kaum wanita. Kalau dah gemuk susah nak turun. Berbagai kaedah dicuba namun tidak juga serasi.
``Ramai yang datang kepada saya untuk bertanya cara mana yang efektif untuk menurunkan berat badan,'' ujar pengusaha salun kecantikan Seri Maya, Roziah Ahmad.
Roziah atau lebih mesra dengan panggilan Zieta berkata, mengamalkan diet sahaja tanpa bersenam tidak cukup untuk mengurangkan berat badan.
``Yang penting disiplin diri,'' ujar ibu berusia 39 tahun ini. Namun melalui salun kecantikannya, Zieta menawarkan dua kaedah untuk menurunkan berat badan atau slimming.
Pertama, menggunakan krim panas disertai urutan menggunakan mesin pengurut dan beg panas atau kedua, mengamalkan MANDI SAUNA bagi memecahkan lemak.
``Mereka boleh memilih kedua-duanya sekali andai kata mahu mempercepatkan proses slimming,'' ujar Zieta.
Menurut Zieta, sebaiknya pelanggan memilih pakej yang berkemampuan dengan wang yang ingin dibelanjakan.
``Dengan rawatan sebanyak 18 kali dan disiplin yang ketat, saya yakin mereka mampu kelihatan ramping,'' tambah Zieta.
Melihat pada bentuk badan Zieta yang kalah seorang perawan sudah cukup membuktikan keberkesanan rawatan slimming yang dipraktikkan.